Hidup Di Dunia Hanyalah Sementara



Sifat Al-Jabbar dan Al-Mutakabbir adalah sifat kesempurnaan bagi Allah. Ada orang menterjemahkannya kepada makna ‘samseng’ dan ‘sombong’. Adakah terjemahan seperti ini menunjukkan kesempurnaan bagi sifat-Nya? dan adakah terjemahan seperti ini tepat dan dibolehkan?

Apabila kita berbicara tentang kesempurnaan sifat dan nama, adalah dimaklumi bahawa ada sifat dan nama yang sempurna untuk Allah sahaja, tidak untuk makhluk, iaitu sifat atau nama ini memuji Allah tetapi menghina makhluk. Contohnya nama Al-Jabbar. Nama ini memuji Allah tetapi jika digunakan untuk manusia akan membawa makna zalim atau tidak adil.

Umat Islam telah diajar daripada dahulu sehingga sekarang bahawa sifat-sifat Allah adalah sempurna belaka. Bukan itu sahaja, bahkan sifat-sifat ini juga layak untuk Allah. Satu perkara yang mesti diketahui oleh umat Islam yang berpegang dengan akidah Ahlus Sunnah ialah nama dan sifat-sifat Allah adalah satu perkara ‘tawqifi’ iaitu suatu yang tidak boleh direka-reka sebaliknya ianya mestilah bersumberkan nas daripada Al-Qur'an, hadis serta ijmak.

Imam Hasan Al-Banna dalam risalah akidahnya berkata, yang bermaksud: "Al-Jabbar ialah yang melaksanakan perintah-perintahNya". (Imam Hasan Al-Banna: Majmu'ah Rasa'il Al-Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna)

Bahkan Imam Hasan Al-Banna dalam risalah akidahnya itu turut menyatakan, yang bermaksud: "Ketahuilah bahawa jumhur kaum muslimin berpendapat bahawa tidak boleh menamakan Allah Tabaraka Wa Taala dengan suatu nama atau sifat yang tidak disebut oleh syarak, dengan maksud mengambil nama tersebut menjadi nama Allah Taala sekalipun ia merasakan bahawa maknanya sempurna. Maka tidak boleh kita mengatakan (pada Allah Taala): Jurutera Alam Yang Paling Agung, dan tidak boleh juga kita menyatakan misalnya: Pengarah Urusan Bagi Hal-Ehwal Makhluk". (Majmu'ah Rasa'il Al-Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna, m/s: 423)

Sementara tentang pengertian Al-Mutakabbir pula para ulama ahlus sunnah memberikan pengertian seperti berikut:

Imam Al-Qurtubi berkata di dalam tafsirnya mengenai makna Al-Mutakabbir, yang bermaksud: "Dia yang yang Maha Tinggi dengan rububiyah-Nya dan tiada suatu yang menyerupai-Nya”. (Rujuk Al-Jami' Li Ahkam Al-Qur'an – al Qurtubi)

Al-Syaukani pula berkata, yang bermaksud Al-Mutakabbir: "Dia yang Maha Tinggi dari segala kekurangan dan Maha Agung dari segala apa yang tidak layak bagi-Nya". (Rujuk Fath Al-Qadir)

Imam Hasan Al-Banna pula menyatakan, yang bermaksud Al-Mutakabbir: "Dia yang Maha Tinggi dari segala sifat makhluk yang tersendiri dengan sifat-sifat keagungan-Nya". (Majmu'ah Rasa'il Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna, m/s: 421)
Jadi adalah satu kesilapan yang nyata menafsirkan makna Al-Mutakabbir dengan makna sombong kerana sifat sombong adalah sifat makhluk yang keji yang tidak layak disandarkan kepada Allah Taala.

Jika setiap orang bebas memberi nama atau sifat kepada Allah Taala tanpa berpandukan syarak, maka akan ada misalnya yang mengatakan bahawa Allah itu Doktor Yang Maha Agung dengan maksud bahawa Allah Taala berkuasa menyembuhkan sebarang penyakit. Oleh itu mengikut ajaran ahlus sunnah, nama-nama dan sifat-sifat bagi Allah mestilah berpandukan nas-nas syarak.

Sesungguhnya kita semua akan dihisab atas segala amal dan perbuatan kita. Maka pada ketika itu tiada lagi berguna harta, anak-anak dan para pengikut, melainkan orang yang menemui Allah dengan hati yang sejahtera.

Allah berfirman yang bermaksud “Barang siapa yang ingin menemui Tuhannya maka hendaklah dia beramal soleh dan jangan dia menyekutukan Allah dengan sesuatupun” [surah al-Kahfi ayat 110]

Wallahu Taala A’lam wa Ahkam.


dari : http://syafiee.blogspot.com/