Penahanan Mohd. Asri disokong

JOHOR BAHRU 3 Nov. - Persatuan Kebajikan Al-Jamiatul Khairiah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin kelmarin.

Presidennya, Datuk Syed Hussein al-Habshee berkata, pihaknya menerima banyak rungutan dan aduan di kalangan ahlinya dan masyarakat setempat di Wilayah Persekutuan dan Selangor tentang ceramah yang pendekatannya disyaki beraliran Wahabi.

"Ramai yang mendesak agar persatuan membuat permintaan terhadap kerajaan supaya diambil tindakan bagi mengelak kekeliruan masyarakat setempat yang berpegang kepada mazhab Syafie," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kelmarin, Mohd. Asri ditahan oleh JAIS di Taman Sri Ukay, Hulu Klang kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor semalam tidak mendakwanya, sebaliknya Mohd. Asri hanya dikenakan bon jaminan JAIS sebanyak RM3,000.

Syed Hussein berkata, pendekatan yang disyaki Wahabi itu dikhuatiri akan memecah belah dan mengelirukan masyarakat khususnya generasi muda.

"Kita tidak mahu sesiapa yang cuba menjadi jaguh keilmuan dengan mencetuskan kontroversi dan polemik melalui pendekatan bercanggah dengan mazhab yang diamalkan di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar diadakan muzakarah antara mufti-mufti berhubung pendekatan dan fahaman yang dibawa Dr. Mohd. Asri itu.

"Mufti-mufti boleh membuat rumusan untuk membantu dan memberi panduan kepada umat Islam serta mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Perbincangan seterusnya adalah antara ilmuwan agama dengan Dr. Mohd. Asri sendiri," katanya.

Syed Hussein berkata, apa yang berlaku seolah-olah sejarah berulang kembali kerana pada sekitar 2007, tiga tokoh ulama bermazhab Syafie dari Yemen juga tidak dibenarkan oleh Dr. Mohd. Asri berceramah tanpa tauliah di Perlis ketika beliau menjadi mufti negeri itu.

Justeru, pihaknya percaya JAIS telah membuat pelbagai pertimbangan sebelum melakukan penahanan.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm

_________________________________________________________________

Tokoh tak mohon tauliah dibidas

Oleh Nazura Ngah, Hazpaizi Mohd Zain dan Zanariah Abd Mutalib
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Beberapa tokoh agama Islam kesal dengan sikap segelintir tokoh agama yang menganggap mereka kebal dan tidak perlu mendapatkan tauliah untuk menyampaikan ceramah agama.

Sambil menganggap golongan itu sebagai takbur, mereka berpendapat populariti, kedudukan dan kelayakan bukan ‘lesen besar’ untuk menyampaikan ceramah kerana mereka terikat dengan undang-undang.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata peraturan yang dikuatkuasakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah satu keperluan dan diselaraskan di seluruh negara selepas persetujuan Majlis Raja-Raja.


Katanya, adalah wajar peraturan itu dihormati dan dipatuhi sebagai tanda menjunjung kedaulatan undang-undang dalam prinsip Rukun Negara.

“Sistem pentauliahan bertindak sebagai mekanisme kawalan terhadap mana-mana pihak yang cuba menghidupkan amalan dan ajaran sesat.

“Saya tidak nampak kenapa peraturan seperti itu tidak boleh dipatuhi dan mereka yang enggan mendapatkan tauliah adalah mereka yang takbur. Doktor dan peguam juga perlu mendapat tauliah sebelum dibenarkan berkhidmat.

“Walaupun seseorang dianggap intelektual, dia tidak seharusnya sengaja melanggar undang-undang. Dalam isu ini, Jais hanya menunaikan tanggungjawab dan mereka mempunyai asas membuat tangkapan kerana ada peruntukan. Salah atau tidak, itu isu berbeza dan mereka boleh dibicarakan,” katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mempertikaikan tindakan Jais menahannya kerana berceramah tanpa tauliah kerana menganggap dirinya bukan orang asing di negara ini dan pandangan beliau boleh dibaca dalam akhbar perdana selain mengajar di Universiti Sains Malaysia (USM).

Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, berkata semua pihak perlu kembali kepada prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menetapkan Sultan Selangor sebagai ulil amri bagi rakyat negeri itu.

Katanya, rakyat wajib taat kepada baginda sebagai ulil amri dan kuasa yang diturunkan kepada Jais untuk melaksanakan tugas dalam bidang agama.

Beliau berkata, jika seorang tokoh agama menganggap dirinya berpengetahuan, matang serta beradab, maka lakukan dakwah secara intelektual, berdisiplin, beradab dan mengikut saluran sah tanpa provokasi, sensasi atau menangguk di air keruh yang akhirnya memakan diri.

“Kita kembali pada prinsip menyerahkan sesuatu kepada pihak berkuasa. Kita mengawal diri dengan disiplin dan adab secara berkesan untuk melihat isu selesai mengikut syarak,” katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata tindakan Jais tidak wajar dipertikai kerana mengikut enakmen negeri berkenaan.

Katanya, kekeliruan berlaku kerana orang yang ditahan adalah bekas mufti sedangkan hampir semua negeri menguatkuasakan sistem pentauliahan bagi membendung pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan amalan, fahaman dan ajaran sesat.

“Kini ramai penceramah luar negara juga datang memberi ceramah dan jika tiada sistem pentauliahan, akan ada ajaran yang menyeleweng dan menyesatkan umat Islam. Ilmu dan kedudukan seseorang sehingga pernah menjadi mufti bukan lesen besar untuk memberi ceramah tanpa kebenaran,” katanya.

Mashitah turut mendedahkan beberapa penceramah termasuk bergelar datuk yang muncul di televisyen dan mendakwa graduan Universiti Al-Azhar sebenarnya gagal dalam pengajian mereka.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan stesen penyiaran mewajibkan semua penceramah mendapatkan pentauliahan daripada pihak berkuasa agama negeri.

Pendakwah bebas dan perunding motivasi, Datuk Md Daud Che Ngah pula berkata, akidah umat Islam lebih mudah diseleweng jika sistem pentauliahan tidak dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, jabatan agama Islam wajar memberikan tauliah tanpa memilih bulu kerana ia boleh menyekat dakwah dan usaha meningkatkan syiar Islam.

“Dalam kes Dr Asri, beliau wajar disiasat untuk menentukan kesahihan dakwaan termasuk mengembangkan fahaman Wahabi,” katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Agama/20091104221756/Article/

_____________________________________________________________